January 2011 Issue, Utusan Online

 

LESTER Neil Francis (dua dari kanan) pada pelancaran GPS Papago! model H5600 di Kuala Lumpur baru-baru ini.


SELAIN mengakses peta perjalanan melalui telefon bimbit pintar, kian ramai pengguna jalan raya hari in menggunakani sistem penentu kedudukan global (GPS) untuk tujuan mencari arah destinasi yang dituju. Alat elektronik yang disokong oleh teknologi satelit itu berfungsi membantu pemandu kenderaan mencari lokasi serta kedudukan sesuatu tempat secara terperinci. Bukan setakat itu, penggunaannya juga mempunyai banyak kelebihan terutama daripada segi penjimatan masa dan penggunaan bahan api.

Ketika ini, terdapat banyak produk GPS dijual di pasaran dengan dilengkapi pelbagai spesifikasi moden dan menarik. Antara yang semakin popular dan mendapat perhatian ramai adalah daripada jenama Papago!.

Dibawakan oleh syarikat teknologi maklumat M3Asia Sdn. Bhd. (M3Asia), Papago! baru-baru ini memperkenalkan peranti GPS terkininya iaitu model Papago! H5600. Menurut Ketua Pegawai Operasi Kumpulan M3Asia, Lester Neil Francis, selain binaan bergaya dan nipis, produk tersebut turut disempurnakan bersama prestasi cemerlang.

"Kita mahu para pemandu selesa menggunakan produk ini dan seterusnya dapat menikmati pengalaman pemanduan terbaik. Keunikan Papago! H5600, ia merupakan peranti GPS Papago! pertama dilengkapi skrin sentuh definisi tinggi (HD) bersaiz lima inci," katanya pada pelancaran media model berkenaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Papago! H5600 yang dibangunkan oleh syarikat Maction Technologies Inc. dipacu menggunakan perisian Reality Navigation 7 untuk tawaran fungsi paparan lebih jelas dan komprehensif. Ia termasuk lokasi kegemaran atau Point of Interest (POI), paparan simpang dan garisan lebih realistik serta topografi bangunan dalam bentuk tiga dimensi (3D).

Selain peta Malaysia, model GPS tersebut turut tersedia bersama empat lagi peta negara-negara di Asia iaitu Singapura, Brunei, Indonesia dan Thailand. Sesuatu yang unik, Papago! H5600 dilengkapi sistem operasi Wince 6.0 untuk fungsi pengesanan kesesakan lalu lintas. Sistem tersebut berperanan mencadangkan laluan alternatif kepada pengguna sekiranya jalan utama ke sesuatu destinasi mengalami kesesakan.

Kelebihan lainnya, Papago! H5600 dilengkapi sistem pengaktifan melalui arahan suara, penalaan radio FM, pandu arah bersuara, paparan lokasi geografi dan sokongan kamera undur melalui sambungan AV-IN.

Bagi fungsi multimedia, model berkenaan turut menyokong permainan muzik berformat MP3, WAV, WMV dan WMA. Untuk sokongan ruang storannya pula, alat berkenaan didatangkan bersama slot kad memori SD.

Papago! H5600 kini boleh diperolehi di pasaran dengan tawaran harga RM799. Maklumat lanjut mengenainya boleh diperolehi daripada laman web www.m3asia.com.